Sunday, February 26, 2012

386 Perintis Program Asas Vokasional


15 sekolah menengah terpilih mula sistem pembelajaran beri kemahiran pada usia muda

PUTRAJAYA: Seramai 386 pelajar Tingkatan Satu menjadi perintis Program Asas Vokasional (PAV) membabitkan 15 sekolah menengah terpilih di seluruh negara selepas memulakan pembelajaran mereka sebaik sesi persekolahan baru dibuka dua minggu lalu.

Melalui program itu, pelajar didedahkan bidang kemahiran yang juga asas vokasional pada usia lebih muda, seterusnya melayakkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua sebaik menamatkan Tingkatan Tiga kelak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab, berkata sekolah perintis itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak Selatan di Perak yang menawarkan kursus Automotif; SMK Sungai Rawang, Sepang, Selangor (Tanaman) serta SMK Bukit Goh, Kuantan, Pahang; SMK Kubang Kerian 2, Kota Bharu, Kelantan dan SMK Beaufort, Sabah bagi kursus Penyediaan dan Penyajian Makanan.

Sekolah lain ialah SMK Datuk Menteri, Batu Pahat, Johor dan SMK Simpang Kuala, Alor Star, Kedah bagi kursus Pembuat Perabot; SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan (Visual dan Animasi); SMK Seri Pengkalan, Melaka (Pakaian dan Jahitan) dan SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan (Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara).

SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad, Pulau Pinang pula menyediakan kursus Menservis Motosikal; SMK Arau, Perlis (Pakaian dan Jahitan); SMK Belaga, Sarawak (Pendawaian Elektrik); SMK Saujana, Setiu, Terengganu (Akuakultur) dan SMK Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur (Hiasan Dalaman).

“Sepanjang enam bulan pertama ini, pelajar didedahkan dengan pengurusan diri, asas kemahiran selain diperkenalkan dengan bengkel serta peralatan yang akan digunakan kelak.
“Pembelajaran dijalankan secara hands on sepenuhnya selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi pada masa depan,” katanya, di sini.

Ahmad Tajudin berkata, tenaga pengajar membabitkan guru Mata Pelajaran Vokasional (MPV) sedia ada yang sudah diberi kursus PAV yang baru diperkenalkan.

Katanya, silibus turut membabitkan beberapa mata pelajaran teras, selain diterapkan komponen jati diri, keusahawanan dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.

“Kementerian bercadang memperluaskan PAV ke 150 sekolah membabitkan 20 pilihan kursus tahun depan.

“Keutamaan diberikan kepada pelajar lemah akademik, tetapi jika ada kekosongan, pelajar memiliki akademik sederhana yang berminat dipertimbangkan,” katanya.

Sumber: http://www.bharian.com/

Friday, February 24, 2012

Rokok punca utama COPD


FIZIKALNYA kelihatan sihat tanpa penyakit kronik yang biasa dialami rakan seusia. Menjangkau usia 66 tahun, dia masih mampu berjalan dan gigih bekerja, namun tiada siapa menyangka di sebalik ‘kekuatan’ itu dia sebenarnya penghidap penyakit sistem pernafasan Chronic Obstructive Pulmonary Disease atau COPD.

Bagi Lau Swe Teng, tabiat merokok yang sukar dikawal sejak zaman remaja punca utama dia disahkan menghidap COPD pada 2001. Biarpun tahu berbahaya, Lau tidak pernah endah nasihat doktor dan keluarganya.

“Saya dan rokok tidak boleh dipisahkan. Jika tiada rokok, hidup tidak lengkap. Keluarga sudah jemu menasihati saya meninggalkan tabiat itu memandangkan usia semakin meningkat.

“Namun ia tidak pernah diendahkan sehingga disahkan menghidap COPD. Ubat pula saya hanya makan ikut keperluan dan tidak mengikut nasihat doktor,” kata bapa kepada dua anak.

Namun, segala-galanya berubah apabila dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari akibat sesak nafas teruk, tahun lalu.

Selepas peristiwa itu, Lau mengambil keputusan berhenti merokok, seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat. Lau turut menasihatkan orang ramai menjauhi tabiat merokok kerana boleh mendatangkan banyak penyakit.

“Dulu saya tidak peduli apabila disaran berhenti merokok. Apabila merasai keperitan itu, saya insaf dan lebih menghargai nyawa serta keluarga tersayang.

“Selain merugikan diri, saya menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rawatan, sedangkan ia kegunaan masa depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan indacaterol inhalation powder, Onbrez Breezhaler di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lau kini lebih sihat selepas berhenti merokok, apatah lagi dengan bantuan Onbrez Breezhaler yang mudah dibawa ke mana saja. Ia ringan dan boleh didapati di hospital kerajaan.

Onbrez Breezhaler dikatakan satu-satunya rawatan sedia ada pesakit COPD yang menggabungkan ubat bronkodilator secara klinikal dan mampu bertindak dalam lima minit bagi dos pertama.

Kajian menunjukkan Onbrez Breezhaler membantu menenangkan otot di sekeliling ruang udara paru-paru selain terbukti memperbaiki fungsi paru-paru dan melegakan semput pesakit COPD berbanding ubat bronkodilator lain.

COPD adalah penyakit sistem pernafasan yang memerlukan perhatian dalam bidang perubatan. Ia berlaku disebabkan penyem pitan saluran pernafasan yang kronik atau saluran pernafasan terlebih aktif hingga boleh menyebabkan kematian.

Merokok penyebab utama penyakit COPD dan paling kerap menyerang lelaki berbanding wanita, malah ia meningkat seiring usia.

Tanda-tanda awal seseorang dikesan menghidap COPD ialah apabila dia sukar bernafas ketika melakukan aktiviti atau berehat, batuk berkahak berpanjangan, bunyi seperti wisel sewaktu menghembus nafas, paru-paru berair dan bengkak kaki.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pengambilan alkohol dan penggunaan tembakau dikesan menjadi punca utama kematian meningkat mencecah 5.4 juta orang, malah dijangka meningkat lebih lapan juta menjelang 2030.

Golongan yang berisiko mendapat COPD ialah perokok sama ada aktif atau pasif, pencemaran udara, jangkitan virus, pekerjaan, terutama pekerja di kuari atau sentiasa terdedah kepada habuk, dan faktor genetik.

Sumber: http://www.harian-metro-online.com/

Kelebihan Jumaat Penghulu Segala Hari


HARI Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut ‘sayyidul aiyyam’ kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam, hari itu amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari.

Berdasarkan penjelasan hadis, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari itu Allah SWT menciptakan Nabi Adam, berlakunya hari Kiamat dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga.

Manakala malaikat pula menamakan hari Jumaat sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu rahmat dibuka dan Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya serta menabur kebaikan-Nya.

Hakikatnya, menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat istimewa kerana memberi peluang menilai ketakwaan dan membersihkan dosa.

Kita perlu insaf walaupun pada zahirnya penampilan diri kelihatan cemerlang tetapi dari segi batin orang yang melakukan dosa seperti rasuah, menzalimi, menganiaya, memfitnah, minum arak, berzina dan sebagainya bagaikan berada di tempat kotor diselaputi najis.

Malah, apa yang menakutkan kita ialah meninggal dunia dalam keadaan berdosa dan tidak sempat bertaubat. Oleh itu, insaf dan sedarlah bahawa untuk keluar dari tempat bernajis atau kotor, caranya ialah meninggalkan, menjauhi tempat itu serta mencari tempat yang suci.

Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardu Jumaat. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumaah, ayat 9)

Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di rumah Allah mampu membaiki keimanan, meningkatkan persaudaraan sesama Muslim dan perpaduan ummah. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur dibenarkan syarak, mereka dikira sebagai orang yang lalai.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.” (Hadis riwayat al-Nasa’ie)

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumudin, pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan dan saat itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur.

Amalan sunat hari Jumaat seperti qiamulail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-Kahfi, Yaasin, Sajjadah dan al-Mulk.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hari Jumaat adalah hari penuh keberkatan. Bagi mengambil peluang keemasan ini, mari kita membudayakan bersama keluarga dan anak memuliakan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.

Mudah-mudahan dengan cara ini ia mampu memperkukuhkan institusi keluarga dan memantapkan keimanan anak kita. Ini amalan nabi, wali dan orang salih. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, kerana kesibukan dunia dan pengaruh sosial menyebabkan kita lupa kemuliaan hari Jumaat.

Malah apa yang menyedihkan, ada kalangan umat Islam menjalankan aktiviti pada malam dan hari Jumaat yang menyemarakkan lagi gejala sosial.

Rebutlah peluang untuk membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari. Marilah bersama merenung firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumaat, ayat 10

Sumber: http://www.harian-metro-online.com/

Tuesday, February 21, 2012

Lelaki Lemah Punca Wanita Queen Control


Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, tidak kira apa zaman sekali pun memang masih wujud sikap-sikap yang dirujuk sebagai queen control.

Sikap ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu, queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga dan satu lagi, queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.

Dan menurut Suzana juga lelakilah punca wanita itu dikatakan bersikap queen control.

“Ia berpunca daripada beberapa sebab yang asasnya adalah suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.

“Keduanya suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak-tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab suami tidak berulang lagi

“Dan ketiga suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal penuh oleh isterinya,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya adakah lelaki akan jemu dengan wanita yang bersikap queen control, Suzana berkata ia terpulang kepada bentuk kawalan (control) daripada wanita itu sendiri.

“Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan rasa jemu malah tak mustahil lelaki akan rasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri.

“Namun, jika sikap mengawal atau mengongkong si isteri dengan hasrat mengawal pergerakan suami supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, memang lelaki akan rasa jemu dan bosan. Sebabnya, lelaki akan mula rasa segala pergerakannya tidak bebas dan terkawal,” jelasnya.

Menurut Suzana, sama juga dengan sikap wanita yang memang sejak awal gemar mengawal dan bila bersama dengan teman lelaki atau suami, dia tidak dapat membuang sikap tersebut ditambah pula dengan kegagalan si lelaki mengawal wanita tadi, lelaki pasti rasa jemu dan bosan.

“Kalau sebagai teman lelaki, tidak mustahil wanita tadi akan ditinggalkan dan jika sebagai suami, tidak mustahil juga si suami akan mula pasang mata mencari wanita lain yang boleh memberikan ketenangan kepadanya.

“Paling buruk, lelaki akan mengambil pendirian keluar daripada perkahwinan,” tegasnya.

Namun bagi suami, terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan untuk berhadapan dengan isteri yang queen control.

“Perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah menjadi lelaki yang sebenarnya. Maksud saya, jadilah lelaki yang tegas dan menjalankan tanggungjawab.

“Jika anda pernah tersilap, yakinkan isteri atau teman wanita anda bahawa anda telah berubah dan tak akan ulangi kesilapan lalu.

“Pastikan juga anda betul-betul berubah. Ingatlah, teman wanita atau isteri anda mengawal anda kerana sayangkan anda dan ingin hidup bahagia dengan anda,”katanya.

Tambah Suzana, jika teman wanita atau isteri anda memang bersikap queen control sejak awal dan bukan kerana kesilapan anda, anda perlu ubah sikap teman wanita atau isteri anda itu.

Anda perlu sedarkan dirinya tentang kesilapan sikapnya. Sedarkan bahawa dia ialah wanita yang perlu taatkan suami dan tidak boleh sesenang hati mengarah suami itu ini.

“Sebagai permulaan, tanamkan dalam diri teman wanita atau isteri anda untuk bersikap toleransi dan sering berbincang di dalam menetapkan sesuatu perkara atau keputusan.

“Ingatkan wanita anda, walau siapa pun dirinya di luar rumah hatta jika dia adalah bos anda sendiri, di rumah dia adalah wanita yang perlu menghormati dan mentaati perintah suami selagi perintah suami tidak menyalahi ketetapan syarak,” jelasnya.

Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya.

Tidak semua wanita suka bersikap queen control tetapi terpaksa bersikap sedemikian demi menyelamatkan sebuah hubungan kasih sayang.

Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki.

“Dengan kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.

“Perkara paling penting, lelaki dan wanita, suami dan isteri perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumahtangga.

“Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tidak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insya-Allah,” akhiri Suzana.

Sumber: http://www.serikasih.com/

Awas! Jika Anda Sering Memukul Anak


SEBAGAI ibu bapa apakah sikap yang anda mahu ada pada anak, pembengis atau penyayang? Sebenarnya kedua-dua sikap ini bergantung kepada sikap ibu bapa itu sendiri pada anak.

Ini kerana kajian menunjukkan kanak-kanak berumur setahun yang sering dipukul (pukulan atau tamparan seperti menepuk punggung, kaki atau tangan ketika melakukan kesalahan) oleh ibu atau bapa mereka akan menjadikan anak tersebut agresif dan tidak mencapai tahap yang baik ketika menjalani ujian kognitif.

Keadaan tersebut sama sekali berbeza pada kanak-kanak seusia yang hanya dinasihati atau dimarahi secara lisan oleh ibu atau bapa apabila mereka melakukan kesalahan.

Walaupun ibu bapa menganggap 'pukulan kecil' itu tidak mendatangkan mudarat kepada anak-anak, namun kajian mengesahkan pukulan kepada anak sekecil usia setahun mendatangkan kesan negatif kepada pembesaran tubuh dan minda mereka.

"Usia setahun adalah tempoh yang paling penting dalam mewujudkan kualiti hubungan antara ibu bapa dan anak-anak," jelas Lisa J. Berlin, seorang saintis penyelidik di Pusat Kanak-kanak dan Polisi Keluarga di Universiti Duke, Amerika Syarikat.

Tambah Berlin, pukulan kepada anak-anak sekecil usia setahun akan menjadikan mereka kanak-kanak yang agresif seiring penambahan usia mereka.

Hasil kajian Berlin telah diterbitkan pada sebuah jurnal Pembangunan Kanak-Kanak keluaran September/Oktober tahun ini.

Berlin dan kumpulan penyelidiknya merujuk kepada data yang diperoleh dari 2,500 responden yang terdiri daripada bangsa kulit putih dan hitam yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah.

Menghukum dengan pukulan

Kaji selidik terbabit turut melaporkan tanggapan ibu bapa tentang kerenah anak-anak mereka dan mengapa mereka memilih untuk menghukum anak dengan pukulan.

Berlin juga memilih beberapa pemerhati terlatih untuk melakukan lawatan di rumah responden terbabit bagi merekodkan cara interaksi antara ibu bapa dengan anak-anak yang berusia 1, 2 dan 3 tahun.

Kira-kira satu pertiga ibu kepada anak berusia setahun memberitahu, dalam seminggu mereka pasti akan memukul anak mereka sekurang-kurangnya sekali kerana kesalahan kecil yang dilakukan anak tersebut.

Setelah data dikumpul, Berlin mendapat keputusan bahawa kanak-kanak berusia setahun pasti akan dipukul sebanyak 2.6 kali seminggu, manakala kanak-kanak berusia dua tahun pula tiga kali seminggu.

Kajian tersebut turut menunjukkan kanak-kanak yang dipukul seawal usia setahun menjadi semakin nakal pada usia dua tahun dan apabila menjelang usia tiga tahun mereka tidak menunjukkan perkembangan yang baik terhadap daya pemikiran mereka.

Berlin dan rakan-rakan penyelidiknya juga melihat kepada impak hukuman seperti menengking, menjerit atau membebel dengan bahasa yang kurang sopan terhadap anak-anak.

Dan hasil kajian menunjukkan hukuman 'secara lisan' itu tidak bersangkut paut dengan impak negatif jika ibu tersebut sering memberikan perhatian, kasih sayang dan sokongan kepada anak-anak mereka.

Kajian terdahulu juga melaporkan tabiat memukul anak sering berlaku kepada keluarga berpendapatan rendah.

Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa ibu-ibu yang mengadu mereka memiliki anak-anak yang amat cerewet akan terus menghukum anak dengan pukulan sejak anak berusia setahun hinggalah tiga tahun. Tetapi apabila anak yang berusia dua tahun bertindak agresif, si ibu lazimnya mula kurang memukul anak tersebut.

"Mungkin anak-anak yang berusia dua tahun sudah menjadi semakin agresif jadi ibu semakin sukar mengawal sekali gus mereka kurang memukul anak tersebut, tapi itu bukanlah fakta yang kami temui sebenarnya.

"Adat memukul anak ketika mereka buat salah memang telah lama dilakukan oleh generasi terdahulu, tetapi keadaan tersebut semakin berkurangan seiring perubahan zaman.

"Begitu pun memang masih wujud golongan yang mempercayai bahawa pukulan adalah cara yang terbaik mendidik anak kerana mereka juga melalui fasa yang sama ketika kecil, maka sebab itulah tiada salahnya mereka meneruskan tradisi tersebut," ujar Berlin.

Sering dipukul akan menjadi pemukul

Sementara itu, Professor Madya di Jabatan Pembangunan Manusia dan Sains Keluarga di Universiti Texas di Austin, Elizabeth T. Gershoff, berkata, kajian menunjukkan tubuh kanak-kanak yang sedang membesar memang tidak sesuai menerima hukuman pukulan.

"Boleh dikatakan semua kajian berkaitan amalan memukul anak kecil memberikan impak negatif terhadap tumbesaran anak-anak tersebut, ia hanya membuatkan anak-anak tersebut berhadapan dengan masalah kepada kesihatan mental mereka," jelas beliau.

Tambah Gershoff, lebih kerap anak kecil itu dipukul semakin berisiko untuk didera oleh ibu bapa.

"Saya tidak mengatakan setiap ibu bapa yang memukul anak-anak itu mendera namun risikonya tetap ada," ujar Gershoff.

Kanak-kanak secara semula jadinya akan belajar menerusi apa yang mereka alami dan lihat pada persekitaran, jadi mereka juga akan membesar menjadi seorang yang pembengis - HealthDay News

Sumber: http://www.jpw.gov.my/